Pandangan mengenai Parlimen Belia Malaysia

10708650_10205265706792268_3975878630038816656_o

Touchpoints mengenai apa yang saya maksudkan seperti yang dikeluarkan dalam akhbar Berita Harian .

1) Setiap manifesto yang dibuat itu bukan hanya sekadar gah , tetapi ianya harus ditunaikan dan diperjuangkan .

2) Suara yang dibawa itu mestilah dari hasil suara yang dikumpul oleh belia bukannya dengan akal fikiran dan pendapat peribadi sendiri .

3) Manifesto dan Slogan adalah dua perkara berbeza .

4) Parlimen Belia adalah platform terbaik . Maka , apa yang diperjuangkan itu harus jelas matlamat dan objektif supaya nanti bila sidang parlimen , tidak membincangkan isu yang remeh sebaliknya harus bincang isu belia yang menjadi keutamaan masa kini .

5) Nasihat : Tidak terbawa-bawa dengan politik kotor mana-mana pihak dan dapat membezakannya . Apa yang maksudkan adalah kita mahukan sidang parlimen belia yang membincangkan isu belia sahaja . Politik kotor harus diketepikan . Belia adalah generasi penyambung warisan negara . Maka jauhkan dari hal itu . Kita mahukan generasi yang berbicara secara berilmiah .

HSY

Parlimen Belia atau Negeri Belia ? Membawa suara sebenar atau suka-suka ?

Seringkali kita ketahui akan kewujudan Parlimen Belia . Ianya bukanlah sesuatu yang baru di dunia ini , malah banyak negara lain telah pun menubuhnya seperti Australia , United Kingdom dan beberapa negara lain bagi membolehkan suara orang muda disampaikan kepada pihak kerajaan dalam apa jua kaitan dengan mereka .

Di Malaysia pula , Parlimen Belia ini mula diperkenal semasa era Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan Malaysia . Selepas itu , senyap seketika dan akhirnya apabila era Khairy Jamaluddin menjadi Menteri Belia dan Sukan Malaysia , Parlimen Belia ini disambung dan diteruskan semula sehingga ke hari ini . Apa yang melucukan saya adalah , Ini Parlimen Belia atau Negeri Belia ?

Mengapa saya kata begitu ? Kerana , saya berasa agak terkejut apabila kerusi Parlimen Belia ini diagihkan mengikut kuota berdasarkan populasi belia negeri . Sebagai contoh , di Negeri Sembilan , populasi belia adalah 420,300 orang belia , 4 kerusi diperuntukkan untuk Negeri Sembilan kerana 1 kerusi mewakili 100,000 belia (1:100,000) . Apa yang mengejutkan saya adalah jumlah belia berdaftar di Negeri Sembilan adalah seramai 7454 orang sahaja . Bandingkan jarak populasi belia 420,300 orang dan 7454 orang berdaftar ? Jauh sekali bukan ! Sebab itu saya ingin persoalkan , adakah Parlimen Belia Malaysia ini benar-benar mewakili suara belia atau sekadar suka-suka sahaja ? Mengapa tidak ikut sahaja Parlimen ? Bukankah lebih mudah kita mendapatkan pendaftaran lebih ramai .

Kaedah untuk mendapatkan pengundi belia sebenarnya mempunyai pelbagai cara . Adalah tidak wajar kempen dan promosinya dibuat secara online sahaja . Mereka yang diluar bandar yang tidak ada akses internet pasti berasa rugi dan tidak senang kerana suara mereka pun tidak didengari . Maka salah satu solusinya ialah , calon yang bertanding di Parlimen , boleh turun ke kawasan-kawasan tarikan belia di setiap kampung / bandar / taman dengan membawa gajet atau komputer riba untuk mendaftarkan belia-belia ini sekaligus dapat mempromosi kewujudan Parlimen Belia . Bukankah ini dapat mencapai sasaran bilangan belia yang lebih ramai ?

Soal pengundian pula , tempoh masa yang diberikan adalah seminggu , saya fikir tempoh itu cukup baik . Calon boleh turun semula ke kawasan-kawasan belia dengan membawa gajet atau komputer riba untuk pengundian belia-belia dikawasan . Ianya bergantung kepada calon sejauh mana keberkesanan kempennya itu dapat menarik pengundi-pengundi . Oleh itu , ini adalah antara solusi terbaik untuk memastikan suara belia itu benar-benar didengari .

Jika berkempen sekadar menggunakan akal fikiran calon sendiri tanpa turun kebawah dan mendengar sendiri permasalahan , saya anggap objektif itu tidak sampai . Platform ini cukup baik , tapi sayang , perlaksanaannya tak berapa tepat .

Saya berharap Menteri Belia dan Sukan Malaysia , YB Khairy Jamaluddin mengambil perhatian tentang hal ini dan berharap agar ianya dapat diperbetulkan . Kesian pada belia yang tidak mempunyai akses dan tidak tahu menahu tentang program ini .

Harith Syazwan Yahya (Isnin/20 Oct 2014)

Peranan dan Cabaran Belia abad ke-20

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera ,

Lama tidak saya menyentuh blog ini . Masa tidak mengizinkan dan kepadatan jaduan harian juga antara faktornya . Saya sentiasa mendoakan agar semoga segalanya dipermudahkan dengan izin Allah SWT dengan jayanya tanpa halangan dan dugaan yang tidak mampu untuk kita lalui .

Tujuan saya menulis tajuk ini iaitu ‘ Peranan dan Cabaran Belia abad ke 20 ‘ adalah untuk menyentuh dan menyampaikan mesej kepada belia-belia di Malaysia agar sentiasa peka dengan cabaran yang dihadapi dan akan dihadapi serta perlu mengetahui peranan-peranan mereka terhadap negara dan individu itu sendiri .

Belia merupakan antara aset terpenting negara bagi menyambung warisan kepimpinan negara dimasa akan datang . Pemimpin datang dan pergi dengan meninggalkan warisannya untuk disambung oleh bakal pemimpin yang akan mengambil alihnya bagi meneruskan segala tanggungjawabnya untuk negara . Persoalannya , seramai mana belia yang mengambil tahu tentang hal ini ?

Golongan belia bukanlah satu golongan yang dipinggirkan atau golongan yang kurang penting dalam pembangunan negara. Mereka bukanlah disisihkan. Malah mereka adalah satu kumpulan tersendiri yang memerlukan pendekatan yang tersendiri. Ini memandangkan kepada tahap perkembangan dan kemampuan mereka dalam mengharungi kehidupan yang memerlukan pendekatan tertentu . Hari Belia Negara juga disambut setiap tahun bagi menyambut belia di Malaysia .

Tuan/Puan/Saudara/Saudari yang saya hormati ,

Susah untuk kita mencari dan mengesan belia-belia yang benar-benar mengambil tahu apa sahaja tentang negara termasuklah politik , ekonomi , sosial dan seumpamanya . Ini adalah kerana sikap mereka yang tidak ingin mengambil tahu atau menganggap ianya adalah sekadar hal yang remeh dan tidak mendatangkan hasil untuk mereka . Malah ianya berlaku juga pada majoriti rakan-rakan saya .

Hal politik dan ekonomi adalah perkara yang paling merumitkan bagi mereka . Tidak semua minat berparti dan menyertai mana-mana parti politik . Pada hari ini juga hanya segelintir sahaja aktivis politik dan aktivis mahasiswa yang benar-benar aktif dan memperjuangkan yang ingin diperjuangkan . Segalanya bermula dari sejarah . Seharusnya siapa yang harus memainkan peranan ini ?

Oleh kerana itu kita sudah dididik dengan matapelajaran Sejarah sejak dibangku sekolah lagi . Ditanam perasaan patriotik dan cinta kita akan negara dan menerangkan bagaimana pemimpin terdahulu berusaha untuk memerdekakan negara dan melindungi negara daripada ancaman musuh . Bukan sahaja di ‘bangku sekolah’ , tetapi di Universiti / Kolej juga kita diajar dengan subjek Pengajian Malaysia dimana dijelaskan juga tentang sejarah negara dan disebabkan itu Sejarah merupakan subjek dan matapelajaran yang penting dan setiap orang wajib mengetahui sejarah agar kita kenal siapa negara kita .

Maka ,  generasi pada hari ini perlu menurunkan ilmunya kepada generasi yang akan datang agar sejarah kita tidak terkubur . Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh belia pada masa kini . Cabaran-cabaran inilah yang perlu dihadapi oleh belia secara realiti pada hari ini dan masa akan datang seiring dengan persekitaran sosial dan peredaran zaman yang berubah saban hari .

Pertamanya adalah cabaran teknologi maklumat . Setiap orang kini boleh mengakses segala maklumat tanpa sempadan hanya dengan menggunakan jari atau dalam erti kata lain adalah mendapatkan maklumat dengan mudah . Kebaikannya sememangnya sangat banyak seperti menambahkan pengetahuan , mendapatkan maklumat isu-isu semasa dan maklumat awam . Semua ini berlaku kerana dengan kecanggihan sistem yang dunia ada .

Malah boleh dikatakan setiap orang memiliki alat-alat canggih seperti komputer , telefon pintar dan seumpanya yang mudah diakses dengan pelbagai pakej internet ataupun internet tanpa wayar (wireless) . Ianya memberi kesan yang amat ketara dalam hubungan antara individu , kenegaraan , sosial , kewangan dan industri serta sebagainya . Mungkin akan timbul keraguan dari segi ketepatan dan kesahihan maklumat yang disebarkan . Begitu juga dengan penipuan yang sudah pun wujud melalui sistem internet dan keruntuhan moral dan sosial masyarakat akibat penyalahgunaan sistem yang sama .

Seterusnya , pemikiran dan budaya juga antara cabaran yang dihadapi oleh pada masa kini . Pemikiran  beberapa individu terutamanya negara maju yang lebih bersifat mempengaruh dan menakluk menjadi lebih dominan dalam alaf ini. Contoh seperti pemikiran globalisasi dan isu hak asasi manusia . Sifatnya adalah subjektif dan sehingga menimbulkan pergaduhan .  Namun, masalah penerimaan dalam keterpaksaan terus berlaku kerana kesan ancaman politik dan ekonomi serta ketenteraan yang akan timbul kelak . Sebagai contoh seperti apa yang berlaku di negara-negara seperti Russia-Ukraine , Syria , Libya , Mesir dan negara-negara bergolak . Sementara pengaruh budaya lebih bersifat mempengaruh ekoran kebebasan dan pengaruh media dan teknologi maklumat .

Tidak lupa juga cabaran mental dan emosi yang lebih subjektif diperkatakan tetapi dalam kehidupan manusia , individu yang merasakan dirinya kekurangan , tidak mampu dan kurang upaya atau ketinggalan daripada individu dan masyarakat lain akan menerima tekanan mental dan emosi yang lebih hebat lagi .  Semakin maju kehidupan manusia , semakin ketara emosi dan mental mereka . Ini dapat dibuktikan dengan berlakunya bunuh diri , rompakan, peras ugut , pembunuhan dan penyalahgunaan dadah dan alkohol serta penyakit mental dan seumpamanya .

Akhir sekali ,  moral dan sosial yang merupakan antara aspek yang semakin pudar dengan bertambah majunya kehidupan mereka . Keselesaan (complacency), individualistik dan materialistik lebih menguasai kehidupan mereka . Tahap kebergantungan kepada pemahaman moral dan keagamaan terus  longgar. Ini dapat dibuktikan berikutan timbulnya beberapa gejala yang sememangnya dilarang keras oleh ajaran agama .

Maka , bersedialah kita wahai belia untuk terus mempersiapkan diri kita dengan ilmu yang merupakan perisai diri agar kita dapat berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut dengan bergaya . Sentiasa beringat akan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah SWT di dunia ini dan tanggungjawab sebagai rakyat . Jangan takut untuk mengambil tahu hal politik dan landskap politik negara kerana anda lah yang bakal mencorakkan masa depan negara dengan meneruskan warisan .

Jangan terikut-ikut dengan segala janji manis yang ditawarkan untuk anda , lihat dahulu akan keberkesanannya dengan rekod terdahulu serta kerelevanannya terhadap sesuatu hal . Jangan lakukan perkara yang tidak sihat dan janganlah menyesal di kemudian hari . Teringat saya akan satu pepatah mengatakan bahawa ” Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna lagi ” . Ini cukup memberikan pengajaran kepada kita .

InsyaAllah , semoga kita sentiasa dipelihara dan diampunkan oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dikeji olehnya serta Allah SWT melindungi negara kita daripada anasir-anasir jahat dan fitnah .

Sekian sahaja perkongsian saya .

HARITH SYAZWAN YAHYA
2 APRIL 2014
RABU (10.00 pm)

 

 

 

 

Formula Melayu dan Islam bersatu belum dijumpai

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera ,

Tuan/Puan/Saudara/Saudari yang saya hormati ,

Saya sendiri berasa segan kepada seorang Tokoh Akademik yang arif iaitu Dr. Mohd Riduan Tee bin Abdullah atau nama dalam cina Tee Chuan Seng yang merupakan seorang muallaf yang mengajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) . Beliau lebih berfikiran baik daripada kita yang dah dilahirkan sebagai melayu tetapi menghina melayu sendiri . Saya gemar mengikuti perkembangan dan pandangan beliau tentang negara Malaysia yang berdaulat ini . Beliau yang berbangsa cina juga mahu bangsa melayu ini bersatu kerana hari demi hari agama islam dan melayu semakin tercabar , tergugat serta diancam oleh pelbagai pihak . Tetapi , hakikatnya orang melayu sendiri tidak berasa syukur dan tidak berbangga kerana dilahirkan sebagai orang melayu tetapi hanya berbangga sebagai umat islam sahaja seolah-olah tiada bangsa . 

Didalam Perlembagaan Malaysia ,

Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura.

Pembaca yang saya hormati sekalian . Perkara didalam Perlembagaan Malaysia tersebut menunjukkan bahawa di Malaysia ini seorang berbangsa Melayu secara automatik beragama islam . Bagi yang beragama islam pula tidak semestinya berbangsa melayu , kerana dengan adanya bangsa-bangsa lain seperti bangsa cina dan india yang memeluk agama islam . Mengapa kita tidak berbangga sebagai seorang yang dilahirkan berbangsa Melayu yang secara automatiknya beragama islam ? Negara mana yang tidak tahu bahawa melayu adalah islam dan Malaysia adalah sebuah negara islam ? Seluruh dunia kenal bahawa Melayu adalah Islam . Saya berikan contoh bangsa lain , mereka yang berbangsa cina hanya mempunyai satu bangsa , tetapi menganuti pelbagai agama seperti confucianisme , buddhisme dan kristian . Mereka boleh bersatu dalam apa jua keadaan pun . Bangsa Melayu yang hanya satu sahaja agama , mengapa tidak boleh bersatu ? Maka , saya harap sama-sama kita tanamkan sifat cintakan bangsa kepada orang yang berfahaman sebegini supaya mereka sedar akan pentingnya membela bangsa .

Seterusnya ,

Sehingga kini satu formula untuk penyatuan orang melayu pun masih belum dijumpai . Ada pihak yang cuba mentelagahkan sesama kita sendiri . Adakah saya anti kepada DAP ? Jawapannya , Ya . Kenapa saya anti kepada mereka bukan bermaksud saya rasis kerana didalam DAP juga ada ahli Melayu dan India kerana mereka mempunyai agenda yang tersembunyi yang kita tak tahu disebalik tabir . Saya ambil contoh dalam arak , judi dan sebagainya , kita yang sememangnya islam pasti mengharamkan perkara ini kerana amat ditegah oleh Allah S.W.T , tetapi mengapa mereka mempertahankan ? Pembaca harus ingat , mereka akan mempertahankan atas nama ‘ Hak Asasi Manusia’ . Maknanya , kita terpaksa akur dengan hal ini . Tetapi bagi kita yang umat islam ini apa perlu buat ? Jauhilah perkara-perkara yang dilarang itu . Negara kita adalah sebuah negara demokrasi , tidak mungkin kita dapat mengharamkan perkara yang dilarang tersebut 100% kerana ianya berkait dengan hak asasi manusia . Jika negara kita mempunyai kuasa mutlak seperti Sultan Brunei , Raja Arab Saudi , sudah tentu kita boleh mengharamkan penjualan dan aktiviti ini 100% . Dengan adanya mahkamah syariah , sedikit sebanyak dapat membantu . Saya harap jelas disini pembaca yang saya hormati .

Masalah orang melayu ini terlalu mudah untuk percaya dan menolak pandangan orang yang bukan selari dengan dia atau dikategorikan taksub . Dimanakah peranan PAS ? Mengapa PAS hanya berdiam diri apabila islam dihina oleh mereka ? Kini , PAS telah berjaya dikawal oleh DAP . Apa sahaja DAP buat keputusan , PAS akur . Sebab itu , PAS sudah jauh tersasar . Dengan nama Parti Islam Se-malaysia yang sudah jelas ingin membela islam . Tetapi hakikatnya sekarang ? Saya kira melayu sudah berpecah dua iaitu melayu UMNO dan melayu PAS  . Mengapa UMNO dan PAS harus bersatu ? Kerana dengan penggabungan ini sahajalah yang akan dapat mengekalkan kemakmuran dan pertahankan negara supaya negara ini terus menjadi negara yang diperintah oleh orang melayu . Tetapi tuan/puan/saudara/saudiri yang saya kasihi , untuk UMNO dan PAS bergabung pada waktu ini sedikit susah dan rumit kerana adanya pemimpin parasit didalam PAS yang merupakan kawan baik dengan chauvinis DAP . Mana mungkin mereka akan pisahkan . Jika berpisah sudah tentu mereka akan kehilangan undian dan kerusi didalam Pakatan Rakyat . Contoh seperti di Selangor , DAP dan PAS masing-masing menang 15 kerusi dan PKR 14 kerusi . DAP sudah tentu tidak boleh dilantik sebagai Menteri Besar Selangor kerana tiada wakil melayu selaras dengan Undang-Undang tubuh kerajaan negeri Selangor tetapi  PKR yang 14 kerusi sahaja boleh menjadi Menteri Besar .  PAS yang lebih 1 kerusi mengapa tidak dilantik sebagai Menteri Besar ? Adakah PAS ditindas ? Wallahualam . Oleh itu , saya melihat PAS semakin dipermainkan , hilang arah dan hala tuju . Kemudian sering kali pula menuding jari kepada UMNO . Apakah UMNO ini sebuah parti yang terlalu teruk ? Harus ingat , UMNO juga Melayu . PAS juga melayu . Tetapi hasutan demi hasutan agar kita sentiasa bertelagah , siapa yang menepuk tangan ? Sampai bila melayu terus bertelagah dan berhenti ? Belum ada mana-mana formula lagi selagi PAS bersekongkol dengan mereka ini .

Oleh kerana itu dengan tajuk yang saya nyatakan diatas ‘ Formula Melayu dan Islam bersatu belum dijumpai ‘ kerana belum ada cara bagaimana nak menyatukan orang melayu yang sudah berpecah dua ini . Saya berharap agar orang melayu sedar akan perkara ini , janganlah kita berpecah tetapi  bersatu kerana kita sayangkan agama , bangsa dan negara kita agar keamanan dan kemakmuran negara yang kita cintai ini dapat terus dikekalkan dan agama kita sentiasa terpelihara . Terima Kasih .

Harith Syazwan Yahya
2 JUN 2013
Ahad (11.37 pm)

Mukadimah

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera ,

Terutama sekali , saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T dengan limpah kurnia dan izinnya kerana dengan adanya alternatif ini , saya dapat meluangkan sedikit pandangan saya kepada umum tentang apa sahaja berkaitan dengan isu-isu semasa , politik dan banyak lagi yang akan saya tulis disini .

Pembaca sekalian , saya adalah golongan belia . Saya mempunyai pandangan saya tentang apa jua , tidak kira politik mahupun isu-isu semasa  . Oleh itu ,  saya meletakkan Allah S.W.T yang paling atas supaya lontaran pendapat saya mengikut ketetapan agama yang telah ditetapkan oleh agama berdasarkan al-Quran dan Sunnah . Sudah menjadi sunnatullah manusia dilahirkan dengan kemampuan akal yang berbeza antara satu sama lain . Suka atau tidak pasti terdapat perbezaan pendapat apabila sesuatu topik diketengahkan . Perbezaan pendapat timbul atas banyak faktor , antaranya tahap ilmu , persekitaran hidup dan pergaulan , luasnya pengalaman hidup dan banyak lagi.

Dalam Islam ‘ Perbezaan pendapat adalah satu rahmat ‘ . Dari perbezaan pendapatlah lahirnya Mazhab-Mazhab yang berbeza oleh imam-imam yang memang diakui ketinggian ilmu dan kredebiliti mereka dan lahirlah Mazhab Maliki, Hambali, Hanafi dan Shafie. Harus diingat bahawa perbezaan antara mazhab mazhab utama ini hanyalah melibatkan perkara perkara kecil sahaja tetapi tidak berlaku percanggahan pada sudut Aqidah dan hukum hukum yang jelas yang diturunkan oleh Allah S.W.T melalui  Al-Quran dan Hadith . Mereka walaupun berbeza pendapat tidak pernah memperlekehkan pendapat atau pandangan antara satu sama lain , malah mereka menghormatinya sebagai ada hikmah disebalik perbezaan tersebut . Kita sebagai manusia biasa yang cetek ilmu ini patut mengambil contoh Akhlak Imam imam tersebut dalam hal memberi dan menerima pendapat . Wallahualam .

Tuan/Puan/Saudara/Saudari yang saya hormati sekalian ,

Saya kira pada hari ini apa yang berlaku didalam negara kita sangat kritikal . Negara semakin diancam oleh pelbagai pihak yang kononnya berjuang untuk rakyat tetapi hakikatnya hanya mahukan kuasa semata-mata . Terutama sekali bagi golongan muda , mereka terlalu mudah menerima bulat-bulat sebarang fitnah dan persepsi yang ditimbulkan . Dengan kuasa Media Sosial hari ini , sememangnya sangat luas bagi setiap orang untuk mendapatkan apa sahaja informasi yang mereka mahu . Saya akui , antara faktor Barisan Nasional kalah teruk pada PRU 2008 adalah kerana media sosial . Zaman sekarang mana ada lagi golongan belia yang bangun pagi-pagi keluar beli surat khabar (Kalau adapun beli untuk ayah) , semuanya ‘online’ . Cuma fakta didalam media sosial selalu tidak tepat dan boleh mengelirukan . Kita  telah dikurniakan akal oleh Allah S.W.T ,  kajilah apa sahaja sebarang bentuk penulisan di media sosial dan jangan kita terima bulat-bulat .

Seterusnya ,

Saya tidak nafikan terlalu ramai golongan belia yang lebih cenderung kearah sebelah pihak lawan (pembangkang) . Dengan budaya hasutan dan fitnah yang telah diterapkan ke dalam fikiran anak muda sekarang ini ditambah pula dengan janji-janji manismu seperti pendidikan percuma , maka tidak mustahil mereka akan sokong dan berjuang untuk itu walau hakikatnya bagi mereka ‘Manifesto Bukan Janji’ . Maka hari ini UMNO harus lakukan sesuatu untuk memberikan penerangan kepada golongan belia agar tidak termakan dengan ‘gula-gula’ oleh pembangkang .

InsyaAllah , dengan mukadimah ini sedikit sebanyak dapat memberikan pembaca yang saya hormati untuk berlapang dada dan berfikir . Semua orang mahukan yang terbaik untuk negara mereka agar setaraf dengan negara-negara maju yang lain . Ikuti entri saya akan datang untuk terus mengikuti segala pandangan . Terima Kasih .

Harith Syazwan Yahya
1 JUN 2013
Sabtu (11.21 pm)